Powered By Blogger

Tuesday 8 November 2011

KRONOLOGI PEMENTASAN TEATER DBP

1.       “Tamu di Bukit Kenny” (1967); karya Usman Awang, arahan Baharuddin Zainal.
2.       Dramatari “Sinar Pagi” (1968); karya Usman Awang.
3.       “Serunai Malam” (1968); karya Usman Awang.
4.       “Senarama Seriirama” (1970); arahan Ismail Dahaman.
5.       “Pegawai Khalwat” (1971); karya Kala Dewata, arahan Mohammad Merak.
6.       “Monyet” (1972); karya Shahnon Ahmad, arahan Othman Haji Zainudin.
7.       “Jebat” (1972); karya Usman Awang, arahan Othman Haji Zainudin.
8.       “Degup Jantungnya” (1972); karya Usman Awang.
9.       “Mendung” (1973); karya dan arahan Othman Haji Zainudin.
10.    “Ikan-ikan di Kaca” (1973); karya dan arahan Mishar.
11.    “Bukan Bunuh Diri” (1975); karya dan arahan Dinsman.
12.    “Nasib di Tanganku Takdir di Tanganmu” (1975); karya dan arahan Ismail Dahaman.
13.    “Intan” (1976); karya Abdullah Hussain, arahan Dinsman.
14.    “Di Pulau Sadandi” (1975); karya dan arahan Dinsman.
15.    “Setinggi Zaman” (1977); karya dan arahan Ismail Dahaman.
16.    “Mayat” (1979); karya Hatta Azad Khan, arahan Johan Jaaffar.
17.    “Syajar” (1980); karya Ismail Kassan, arahan Zakaria Ariffin.
18.    “Taridra Jong Batu” (1981); karya dan arahan Othman Haji Zainudin.
19.    “Titah Tuanku” (1981); karya dan arahan Othman Haji Zainudin.
20.    “Pelayaran Inderaputera II” (1982); karya Ismail Kassan, arahan Zakaria Ariffin.
21.    “Hari-hari Terakhir Seorang Seniman” (1984/85); karya Johan Jaaffar (adaptasi daripada novel karya Anwar Ridhwan), arahan Johan Jaaffar.
22.    “Mahkamah Keadilan” (1986); karya Taufik Al-Hakim, arahan A. Ghani Abdullah.
23.    “Zaman Gerhana” (1986); karya Othman Haji Zainudin (adaptasi daripada novel karya A. Samad Ahmad), arahan Othman Haji Zainudin.
24.    “Salina” (1986); karya Johan Jaaffar (adaptasi daripada novel karya A. Samad Said), arahan Johan Jaaffar.
25.    “Remang di Lorong Tua” (1987); karya Othman Haji Zainudin, arahan Sabri Yunus.
26.    “Melati Sarawak” (1987); karya Othman Haji Zainudin (adaptasi daripada novel karya Muhammad Rakawi Yusof), arahan Othman Haji Zainudin.
27.    “Lakon Tari Bhratayudha II” (1987); karya Othman Haji Zainudin, koreografi oleh Mahmud Hj. Ibrahim.
28.    “Kelongsong” (1987); karya Kemala, arahan Salmiah Ismail.
29.    “Tuk Selampit” (1988); karya Anuar Nor Arai, arahan Zakaria Ariffin.
30.    “Rumah Kedai di Jalan Seladang” (1989); karya Johan Jaaffar (adaptasi daripada cerpen karya A. Samad Ismail), arahan Johan Jaaffar.
31.    “Pentas Opera” (1989); karya dan arahan Zakaria Ariffin.
32.    “Opera Siti Zubaidah” (1990); karya adaptasi/arahan Othman Haji Zainudin.
33.    “Penghuni Paya” (1991); karya Wole Soyinka terjemahan Shamsudin Jaafar, arahan  Anwar Ridhwan.
34.    “Mitos” (1992); karya Othman Haji Zainudin, arahan Zakaria Ariffin.
35.    “Raja Lawak” (1992); karya dan arahan Zakaria Ariffin.
36.    “Matinya Seorang Pahlawan” (1992); karya Usman Awang, arahan Zakaria Ariffin.
37.    “Teman” (1993); karya Kobo Abe, terjemahan Zakaria Ariffin, arahan Zakaria Ariffin dan A. Wahab Hamzah.
38.    “Perempuan Seorang Leftenan Inggeris” (1995); karya dan arahan Zakaria Ariffin.
39.    “Rumah Manusia” (1995); karya Chinen Seishin terjemahan Zakaria Ariffin, arahan Bohari Ibrahim.
40.    “Belum Selesai” (1996); karya dan arahan Zakaria Ariffin.
41.    “Sungai Mengalir Lesu” (1997); karya Zakaria Ariffin (adaptasi daripada novel karya Datuk A. Samad Said), arahan A. Wahab Hamzah.
42.    “Imam” (1998/1999); karya Zakaria Ariffin (adaptasi daripada novel karya SN, Datuk Abdullah Hussain), arahan Zakaria Ariffin.
43.    “Pesona Sastera Al-Amin” (2000); adaptasi daripada puisi panjang A. Samad Said arahan A. Wahab Hamzah.
44.    “Yang Menjelma dan Menghilang” (2001); karya dan arahan Dr. Anwar Ridhwan.
45.    “Telegram” (2001); karya Amirudin Ali dan arahan A. Wahab Hamzah.
46.    “Orang Kota Bharu” (2002); adaptasi dan arahan Fauziah Nawi daripada novel S. Othman Kelantan.
47.    “Demi Zaiton.....” (2004); karya dan arahan Dato’ Noordin Hassan.
48.    “Patah Sayap Terbang Jua” (2005); karya Othman Haji Zainudin adaptasi daripda novel karya A. Samad Ismail.
49.    “Wangi Jadi Saksi” (2006); karya dan arahan U-Wei Hj. Saari.
50.    “Hikayat Qaziq” (2007); karya Siti Jasmina, arahan A. Wahab Hamzah.
51.    Tok Perak – Drama Sepintas Lalu : Yang Mencari dan Yang Menanti” (2008); karya dan arahan Syed Alwi.
52.    Bukan Dejavu” (2008); karya Ismail Kassan, arahan Siti Rohayah Attan.
53.    Intan yang Tercanai” (2009); karya Sasterawan Negara Noordin Hassan, arahan A. Wahab Hamzah.



KUMPULAN TEATER BADAN BUDAYA DBP

Kumpulan Teater Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dikenali dengan nama Keluarga Seni Dewan Bahasa.  Pertama kali mementaskan drama “Tamu di Bukit Kenny” karya Usman Awang, arahan Baha Zain pada 26 Julai 1967.  Sejak tarikh itu, kumpulan teater ini terus aktif hingga kini telah berjaya mengetengahkan 52 buah drama pentas, hasil kreativiti beberapa orang aktivis teater.  Antara mereka yang dapat disebut termasuklah Ismail Dahaman, Othman Haji Zainuddin, Salmiah Ismail, Dinsman, A. Ghani Abdullah, Johan Jaafar, Zakaria Ariffin dan Anwar Ridhwan.  Mohd. Sabri Yunus dan Bohari Ibrahim pernah juga berpeluang mengarah drama dalam kumpulan teater ini.
Selain nama Keluarga Seni Dewan Bahasa, kumpulan teater ini tidak menggunakan nama khusus, hanya sekadar menyebut Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja.  Mulai tahun 1975, di bawah pimpinan Dinsman, Sutung Umar RS dan Hasrom Haron, kumpulan ini dikenali dengan nama “Kelab Teater DBP”.
Sementara itu beberapa pelakon berbakat telah berjaya dicungkil dan dilatih, kini menjadi artis dan seniman terkenal tanah air, seperti Imuda, Sabri Yunus, Shahrizan Ahmad (Abon), Mohd. Ali Osman (Pak Din K.K) dan Bohari Ibrahim.  Di samping itu, Othman Haji Zainuddin dan Zakaria Ariffin turut menceburkan diri sepenuh masa ke lapangan pengarahan dan penulisan skrip.
Kumpulan ini mula dikenali dengan nama baharunya Kumpulan Teater Badan Budaya Dewan Bahasa pada tahun 1986 dengan pementasan drama “Zaman Gerhana”.  Dengan nama baharunya hasil gabungan, iaitu Ayob Yamin, Anwar Ridhwan, Johan Jaafar, Othman Haji Zainuddin, Zakariaa Ariffin dan Fadzil Agussallim sehingga kini telah berjaya melaksanakan kesinambungan usaha masa lalu serta telah mementaskan lebih 19 buah drama dan beberapa buah drama pendek.
Kegiatan Kumpulan Teater Badan Budaya DBP yang berterusan hingga kini, bukan sahaja digerakkan oleh minat dan bakat yang ada pada kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka, malah mendapat sokongan yang kuat daripada para pegawai atasan dan Ketua Pengarahnya sendiri.  Kerana itu tidak hairanlah kumpulan ini dapat terus bertahan dan terus bergiat, meskipun di bawah nama yang berlainan di samping mengekalkan imej sebagai salah sebuah kumpulan teater yang selalunya menghasilkan drama-drama yang bermutu.  Tetapi sejak dasar penswastaan dilaksanakan, kegiatan pementasan kumpulan ini agak kurang diadakan.
Sepanjang kegiatannya, kumpulan teater ini bukan sahaja telah mementaskan drama di Kuala Lumpur dan beberapa buah bandar di Semenanjung Malaysia, tetapi juga di Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam, Singapura dan seterusnya ke Manila dan London.
Kekukuhan organisasinya dan mutu pementasan kumpulan teater ini sering sahaja mendapat pujian dan pengiktirafan daripada beberapa pihak.  Kumpulan Teater Badan Budaya DBP pernah dua kali mewakili Malaysia dalam Pesta kesenian Kuala Lumpur (1985 dan 1986) dan juga mewakili Malaysia dalam “Drama Festival” di Singapura pada tahun 1986.  Pada tahun 1988, sekali lagi kumpulan ini mendapat penghormatan apabila terpilih mewakili negara dalam “First Asean Theatre Festival” di Manila dan dalam “Malaysia Fest” pada tahun 1988 dan 1989.  Pada September 1992, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP berpeluang mementaskan “Matinya Seorang Pahlawan” di SOAS, Universiti London, sempena “Minggu Sastera Malaysia di London”,  Kini Kumpulan Teater Badan Budaya DBP dipimpin oleh A. Wahab Hamzah dan A. Ghapar Abdullah generasi muda yang lebih berpelajaran dan berpengetahuan yang akan membawa kumpulan teater ini mengharungi gelombang ke dimensi baharu.
Tradisi mementaskan drama-drama yang bermutu oleh Kumpulan Teater Badan Budaya DBP akan diteruskan dari semasa ke semasa, selaras dengan hasrat DBP yang berpegang dasar pembinaan dan pengembangan seni dan budaya Melayu, di samping tanggungjawabnya membina dan mengembangkan bahasa serta kesusasteraan kebangsaan.