Kumpulan Teater Badan Budaya Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun-tahun 60-an dan 70-an dikenali dengan nama Keluarga Seni Dewan Bahasa. Pertama kali mementaskan drama “Tamu di Bukit Kenny” karya Usman Awang, arahan Baha Zain pada 26 Julai 1967. Sejak tarikh itu, kumpulan teater ini terus aktif hingga kini telah berjaya mengetengahkan 52 buah drama pentas, hasil kreativiti beberapa orang aktivis teater. Antara mereka yang dapat disebut termasuklah Ismail Dahaman, Othman Haji Zainuddin, Salmiah Ismail, Dinsman, A. Ghani Abdullah, Johan Jaafar, Zakaria Ariffin dan Anwar Ridhwan. Mohd. Sabri Yunus dan Bohari Ibrahim pernah juga berpeluang mengarah drama dalam kumpulan teater ini.
Selain nama Keluarga Seni Dewan Bahasa, kumpulan teater ini tidak menggunakan nama khusus, hanya sekadar menyebut Dewan Bahasa dan Pustaka sahaja. Mulai tahun 1975, di bawah pimpinan Dinsman, Sutung Umar RS dan Hasrom Haron, kumpulan ini dikenali dengan nama “Kelab Teater DBP”.
Sementara itu beberapa pelakon berbakat telah berjaya dicungkil dan dilatih, kini menjadi artis dan seniman terkenal tanah air, seperti Imuda, Sabri Yunus, Shahrizan Ahmad (Abon), Mohd. Ali Osman (Pak Din K.K) dan Bohari Ibrahim. Di samping itu, Othman Haji Zainuddin dan Zakaria Ariffin turut menceburkan diri sepenuh masa ke lapangan pengarahan dan penulisan skrip.
Kumpulan ini mula dikenali dengan nama baharunya Kumpulan Teater Badan Budaya Dewan Bahasa pada tahun 1986 dengan pementasan drama “Zaman Gerhana”. Dengan nama baharunya hasil gabungan, iaitu Ayob Yamin, Anwar Ridhwan, Johan Jaafar, Othman Haji Zainuddin, Zakariaa Ariffin dan Fadzil Agussallim sehingga kini telah berjaya melaksanakan kesinambungan usaha masa lalu serta telah mementaskan lebih 19 buah drama dan beberapa buah drama pendek.
Kegiatan Kumpulan Teater Badan Budaya DBP yang berterusan hingga kini, bukan sahaja digerakkan oleh minat dan bakat yang ada pada kakitangan Dewan Bahasa dan Pustaka, malah mendapat sokongan yang kuat daripada para pegawai atasan dan Ketua Pengarahnya sendiri. Kerana itu tidak hairanlah kumpulan ini dapat terus bertahan dan terus bergiat, meskipun di bawah nama yang berlainan di samping mengekalkan imej sebagai salah sebuah kumpulan teater yang selalunya menghasilkan drama-drama yang bermutu. Tetapi sejak dasar penswastaan dilaksanakan, kegiatan pementasan kumpulan ini agak kurang diadakan.
Sepanjang kegiatannya, kumpulan teater ini bukan sahaja telah mementaskan drama di Kuala Lumpur dan beberapa buah bandar di Semenanjung Malaysia, tetapi juga di Sabah, Sarawak, Brunei Darussalam, Singapura dan seterusnya ke Manila dan London.
Kekukuhan organisasinya dan mutu pementasan kumpulan teater ini sering sahaja mendapat pujian dan pengiktirafan daripada beberapa pihak. Kumpulan Teater Badan Budaya DBP pernah dua kali mewakili Malaysia dalam Pesta kesenian Kuala Lumpur (1985 dan 1986) dan juga mewakili Malaysia dalam “Drama Festival” di Singapura pada tahun 1986. Pada tahun 1988, sekali lagi kumpulan ini mendapat penghormatan apabila terpilih mewakili negara dalam “First Asean Theatre Festival” di Manila dan dalam “Malaysia Fest” pada tahun 1988 dan 1989. Pada September 1992, Kumpulan Teater Badan Budaya DBP berpeluang mementaskan “Matinya Seorang Pahlawan” di SOAS, Universiti London, sempena “Minggu Sastera Malaysia di London”, Kini Kumpulan Teater Badan Budaya DBP dipimpin oleh A. Wahab Hamzah dan A. Ghapar Abdullah generasi muda yang lebih berpelajaran dan berpengetahuan yang akan membawa kumpulan teater ini mengharungi gelombang ke dimensi baharu.
Tradisi mementaskan drama-drama yang bermutu oleh Kumpulan Teater Badan Budaya DBP akan diteruskan dari semasa ke semasa, selaras dengan hasrat DBP yang berpegang dasar pembinaan dan pengembangan seni dan budaya Melayu, di samping tanggungjawabnya membina dan mengembangkan bahasa serta kesusasteraan kebangsaan.
No comments:
Post a Comment